MENU

 

AHAD, 22 JULAI 2018 - SULTAN Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pembukaan Taman Herba Pasir Raja, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi anakanda Tengku Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az serta Menteri Besar, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Pengerusi Baioalpha Holdings Berhad, Tan Sri Abdul Rahman Mamat.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata, 
Taman herba terbabit merupakan sebuah projek pembangunan Kluster Bersepadu Herba (HICD) membabitkan usahasama awam-swasta dimajukan Majlis Pembangunan Wilayah Timur (ECERDC) bersama syarikat pengeluar produk suplimen kesihatan, Bioalpha.

Katanya, menerusi projek itu, Bioalpha diberi tugas besar membangunkan tanah seluas 406 hektar di Pasir Raja sebagai sebuah taman herba tradisional tempatan.

"Projek itu juga berpotensi menjadikan Terengganu sebagai hab makanan suplimen antarabangsa.

"Projek ini menawarkan manfaat besar kepada rakyat disamping mempercepat pertumbuhan ekonomi tempatan,"katanya.

Tambahnya, 32 orang peladang satelit juga dilantik oleh syarikat untuk mempertingkatkan kapasiti hasil tanaman.

" Lebih 50 penduduk sekitar diambil untuk bekerja sebagai kerani umum, penjaga tapak semaian, penanam herba dan banyak lagi, "katanya.

Buat masa kini, lebih 20 jenis tanaman herba tradisional Malaysia ditanam di situ termasuk Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Misai Kucing, Hempedu Bumi, Dukung Anak, Pecah Beling, Mas Cotek dan pelbagai jenis tanaman bernilai tinggi seperti lada hitam serta kelapa.