MENU

SELASA, 14 Ogos 2018 - Sempena Sambutan Sedekad Bersama Majlis Perbandaran Dungun (MPD), MPD dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Tenggol Coral Beach Resort, Jabatan Pelancongan Negeri telah mengadakan program restorasi karang (coral restoration) di Pulau Tenggol, Dungun.

Turut menjayakan program ini adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Dungun, Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Negeri Terengganu, Riverbank Dungun Guesthouse & Cafe dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Program yang diadakan selama tiga hari bermula 11 Ogos melibatkan 25 orang penyelam dari TCS Dive Club, JTLM dan Kelab Sukan Selam Skuba.

Kerja-kerja pemasangan PVC dilakukan di daratan dengan khidmat nasihat daripada JTLM, penyelam kemudiannya membawa 10 rangka yang telah disiapkan di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di sekitar perairan Pulau Tenggol.

Penyelam seterusnya mengikat benih (nubbin) Staghorn Coral di kerangka PVC. Staghorn Coral dipilih kerana kadar pertumbuhannya yang sangat cepat iaitu 11 sentimer dalam masa setahun. Pemantauan kerangka-kerangka ini akan diadakan dari semasa ke semasa oleh JTLM dan juga pihak MPD.

Setiausaha MPD, Fadli Yusof Haji Zakaria berkata, Pulau Tenggol merupakan antara 42 buah pulau di negara ini yang diwartakan oleh Kerajaan sebagai pulau taman laut yang diuruseliakan oleh JTLM.

“Namun begitu, Pulau Tenggol masih kurang dikenali akibat kekurangan promosi dan fasiliti di pulau. Diharap dengan program ini dapat membantu menarik pelancong ke pulau ini.

Saya juga ingin menyeru agar lebih ramai sukarekawan dapat datang membantu dalam melakukan kajian terumbu karang, melakukan program penjagaan, atau memberikan pendidikan bagi mereka yang memerlukan mengenai kepentingan terumbu kadang,” katanya.

Turut hadir pada program perasmian adalah Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya Negeri Terengganu; Zanariah Zakaria, Ahli-ahli Majlis MPD; Tuan Haji Abdul Hamid dan Wan Mohammad Wan Ngah.