MENU

1.MASJID FELDA JERANGAU

      Masjid Felda Jerangau telah didirikan pada 26 Ogos 1965. Pada asalnya ianya merupakan bangunan kayu yang diubahsuaidari sebuah rumah peneroka yang berukuran lebih kurang 40 kaki lebar dan 60 kaki panjang yang boleh 
memuatkan 200 orang jemaah dalam satu masa. 

      Pada tahun 1967, kerajaan negeri Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agama telah meluluskan pembinaan masjid baru yang boleh memuatkan 600 orang jemaah. Kos bagi pembinaan tersebut berjumlah RM 49,000. Lebih kurang 15 tahun kemudian masjid ini sekali lagi dibesarkan. Pembesaran dilakukan bagi menampung pertambahan jemaah dari masa ke semasa. Pembesaran tersebut bolehmemuatkan jemah seramai 1600 orang. 

      Pada tahun 2008 masjid ini sekali lagi di perbesarkan. Pembesaran tersebut mengubah masjid menjadi sebuah masjid yang baru. Ianya sebuah masjid yang indah dan menepati cita rasa masyarakat setempat. Hasil pembesaran tersebut, ianya boleh menampung 2000 orang jemaah dalam satu masa dan kos pembinaan dianggarkan benilai RM 5 juta. Masjid ini diguna pakai sehingga sekarang.

 

 

2.MASJID KAMPONG DENDANG

     Masjid yang berharga RM400,000.00     dimulakan pembinaannya pada 1984dan siap sepenuhnya pada 1986dapat menampung kira-kira       900 orang  jemaah.
Peruntukan mendirikan masjid ini adalah sumbangan daripada 
Kerajaan Negeri.  

      Masjid ini terletak di atas tanah yang berkeluasan 1 ekar dan lokasi masjid ini berada di laluan lebuhraya JerangauJabor. Masjid ini juga merupakan satu-satu masjid yang dijadikan pusat pengajian Kelas Tafaquhfiddin bagi daerah Dungun sekitar tahun 80an.

 

3.MASJID KAMPONG JERANGAU SUNGAI

     Masjid Jerangau Sungai didirikan pada tahun 1981 di atas tanah yang berkeluasan 1 ekar. Masjid ini dibina bagi memudahkan penduduk kampung yang semakin bertambah. Masjid ini dapat menampung kirakira 500 orang jemaah pada  satu masa.

     Masjid ini merupakan bangunan kekal yang dibina diatas tanah yang diwakafkan bernombor Lot 2965. Kos pembinaan masjid ini ialah sebanyak RM60,000.00, disumbangkan oleh kerajaan negeri.

 

4.MASJID KAMPONG PADANG PULUT

      Masjid Kampong Padang Pulut pada awal sudah dibina disekitar tahun 1960. Ianya terbina hasil dari kutipan derma penduduk kampung dan penduduk kampung sendiri bergotong-royong menyiapkan masjid ini. Masjid ini diguna pakai oleh penduduk kampung dari tahun 1960 sehingga terbinanya masjid baru yang beroperasi sehingga sekarang.

      Masjid baru yang berharga RM971,440.00dimulakan pembinaannya pada 2 Mac1995  dan siap sepenuhnya pada  9 Julai 1999 dapat menampung kira-kira 300 orang  jemaah.  Kos pembinaan disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.
Masjid ini dibina di atas lot 1228 yang berkeluasan 3.447 ekarbagi menggantikan masjid lama.  Keunikan masjid ini ialah ianya didirikan di atas bukit di tepi Jalan Dungun ke Bukit Besi di sempadan Mukim Jerangau dan Mukim Kumpal.

 

 

5.MASJID KAMPONG TEPUS

      Masjid Kampong Tepus mula dibina pada tahun 1963. Dinding dan lantai masjid semuanya dibina dengan kayu. Masjid ini terbina hasil peruntukan kerajaan yang menyumbang dana bagi memudahkan orang ramai. Pada ketika ini masjid hanya menggunakan air sungai dan pelita ayam.

      Pada tahun 1965, masjid ini kemudiannya dirasmikan oleh menteri besar Terengganu pada masa itu, Datuk Ibrahim Fikri. Masjid ini di kendalikan oleh tiga orang pegawai iaitu, Haji Abdullah Bin Mahmud, Yong Bin Haji Yassin, dan Mat Adam Bin Hassan.

      Sekarang, keadaan masjid berbeza dari tahun sebelumnya dimana bangunan masjid diubah suai kepada separuh konkrit. Kemudahan seperti tandas, tempat mengambil wuduk juga dibaik pulih. Penggunaan air paip juga digunakan bagi mengganti air sungai dan kemudahan elektrik bagi menggantikan peggunaan lampu ayam. Masjid ini dapat memuatkan lebih kurang 350 orang jemaah pada satu masa dan ianya masih beroperasi sehingga sekarang. 

 

 

 

6.MASJID KAMPONG WA

      Masjid Kampung Wa pada awalnya mula dibuka pada tahun 1963, persamaan pembukaan Sekolah Kebangsaan Kampung Wa. Masjid ini dibuat daripada kayu dan dapat menampung 100 orang jemaah diatas tanah seluas 0.2 hektar. Masjid baru yang berharga RM 1.8 juta     dimulakan pembinaannya pada 2007 dan siap sepenuhnya pada tahun 2009. Masjid ini dapat menampung kira-kira   1000 orang    jemaah.

     Masjid ini terletak di atas tanah yang berkeluasan 0.6 hektar.  Peruntukan pembinaan masjid ini disumbangkan oleh Kerajaan Negeri.  Masjid ini telah dirasmi pada 21.9.2007M bersamaan  9 Ramadhan 1418H.  Tarikh kebenaran berjumaat ialah pada 21.9.2007.

 

 

 

7.MASJID KAMPUNG LENTANG

      Masjid Kampung Lentang mula dibina pada tahun 1992 diatas tanah yang diwakafkan dengan keluasan tanah 70 X 70. Masjid ini kemudiannya dibina pada tahun1997. Kos pembinaan berjumlah RM 150,000. Hasil dari pembinaan ini ianya dapat menampung kira-kira  100-150 orang jemaah.

      Masjid ini dirasmikan oleh Pegawai Agama Daerah (Qari Daerah) pada tahun 1999.Pada asalnya, Kampung Lentang tidak mempunyai masjid.  Oleh kerana itu penduduk Kampung Lentang terpaksa berjemaah di Masjid Jerangau. Dengan lokasi Masjid Jerangau yang agak jauh dengan Kampung Lentang, ianya menyukarkan penduk kampung. Hasilnya, Masjid Kg. Lentang didirikan untuk  memberi kemudahan kepada penduduk berjumaat dan berjemaah.

 

 

 

8.MASJID KAMPUNG PADANG PING

      Masjid Kampung Padang Ping mula dibina pada 1968 dan siap sepenuhnya pada tahun 1974. Kos bagi pembinaan tersebut berjumlah RM 50,000. Masjid ini dapat menampung kira-kira 80 orang jemaah.Masjid ini terletak di atas tanah seluas 1/2 ekar.  Peruntukan membina masjid ini adalah daripada kerajaan negeri. Masjid ini pada asalnya adalah Madrasah yang dibina oleh penduduk kampung pada tahun 1958.  Kemudian dibina sebuah surau oleh pihak kerajaan pada tahun 1958 dan ditukar status kepada masjid pada tahun 1965.