MENU

1.MASJID JAMEK PAKA

     Masjid Jamek Paka yang juga dikenali dengan nama Masjid Kuala Paka, terletak di Kuala Paka. Masjid asal didirikan kira-kira tahun 1920 bersamaan 1339H. Lebihkurang 3 tahun kemudian Masjid Kuala Paka dipindahkan ke tapak baru di Kampung Masjid lebih kurang 100 meter dari tapak asal. Pada tahun 1970 masjid ini diubahsuai dengan peruntukan Kerajaan Negeri dan kemudiannya dikenali dengan nama Masjid Jamek Paka.

     Pada 18 April 1988 bangunan masjid  baru mula dibina bagi menggantikan bangunan masjid sedia ada. Haji Embong Sdn. Bhd diberi kepercayaan bagi membina masjid yang direkabentuk oleh arkitek Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu yang merupakan masjid yang kedua dibina menggunakan rekabentuk dan pelan piawai ini, selepas Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang. Pembinaannya siap pada akhir tahun 1990 dengan kos sebanyak RM 3.314 juta dan dapat menampung kira-kira 1500 orang jemaah. Terletak di atas lot 168 Mukim Kuala Paka berkeluasan 3759 meter persegi dan telah diwartakan di bawah seksyen 62 Kanun Tanah Negara (Warta Bil. 45 bertarikh 2 Julai 1992).

     Dengan siapnya bangunan baru, bangunan lama dirobohkan dan didirikan semula sebagai surau di beberapa tempat seperti Kampung Cacar, Sekolah Kebangsaan Durian Mas, Sekolah Menengah Paka dan Rumah Murah Paka. 
Upacara perasmian telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Mahmud AlMuktafi Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Jumaat 7 Jun 1996 bersamaan 20 Muharram 1417.

 

 

2.MASJID KAMPONG PINANG MERAH

     Pada sekitar tahun 1930, sebuah masjid kayu telah dibina oleh penduduk Kampung Pinang Merah diatas tanah wakaf bernombor Lot 26 Kampung Pinang Merah mukim Kuala Paka. Kerja-kerja pembinaan masjid ini telah dijalankan secara bergotongroyong oleh penduduk kampung.

     Pada tahun 1999, masjid ini telah dipinda dari kedudukan yang asal dimana masjid ini dibina menjadi dua tingkat. Tingkat bawah telah dibin adaripada konkrit dan tingkat atas pula adala daripada binaan kayu yang sedia ada.
Masjid ini telah diperbesarkan lagi dari semasa ke semasa sehingga boleh menampung kira-kira 300 hingga 400 orang jemaah dalam satu masa.

 

 

3.MASJID KAMPUNG NYIOR

     Masjid Kampung Nyior mula dibina pada tahun 1930. Pengasas pertama bagi masjid ini ialah Tuan Haji Abdullah Kecik. Masjid ini dibina ditanah yang telah diwakafkan oleh Tuan Haji Abdullah Kecik sendiri. Pembinannya dilakukan secara bergotongroyong. Sumber kayu diperolehi dari kawasan bukit Bauk. Bahagian atap pula diperbuat dari bata dan pembinaan tersebut tidak menggunakan sebatang paku pun.

     Pada tahun 1950, struktur utama masjid ini telah diubah suai. Lantai dewan sembahyang utama direndahkan sehingga ke 6 kaki dari paras tanah. Dinding asal diganti dengan asbestos.
Pada tahun 1997, sekali lagi kerja-kerja pengubahsuain telah dibuat hasil sumbangan daripada orang ramai dan MAIDAM. Pembesaran melibatkan 20 kaki dibahagian kiri dan kanan masjid. Bahagian hadapan pula telah dibuat dari kayu cengal. Pembesaran ini dapat menampung jemaah seramai 300 hingga 400 orang dalam satu masa. Struktur atap juga telah diganti dan dipasang dengan atap asbestos

 

 

4.MASJID KAMPUNG SANTONG

     Pada tahun 1965 Kerajaan telah membina sebuah surau yang diperbuat daripada kayu dan boleh menampung 50 orang jemaah. Pada tahun 1974 surau telah dinaik taraf oleh Pejabat Agama Daerah Dungun sebagai masjid dibangunan yang sama dan diperbesarkan sedikit untuk menampung jemaah yang bertambah.

     Masjid dibina pada tahun 1990 bagi memberi kemudahan beribadat kepada penduduk setempat yang terdiri daripada Kampung Bukit Merah, Kampung Kolam dan juga Kampung Santong sendiri disamping pekerja-pekerja di GPP - PETRONAS. Dibina dengan kos RM 300,000 dan telah mengalami pengubahsuaian dengan kos sebanyak RM 60,000.00 pada tahun 1995.

     Masjid ini mendapat peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan sumbangan daripada YM.  Syed Omar.   Terletak di atas tanah Kerajaan seluas 1ekar dan bangunan kekal yang berkapasiti 200 orang jemaah masjid.Persempadanan berjumaat di sebelah utara Kg Bukit Merah Cacar Paka.

 

 

5.MASJID NURUL HIDAYAH KAMPUNG TEBING TEMBAH

     Masjid ini dibina pada bulan September tahun 2005 diatas tanah Kerajaan seluas 3.0961 ha bersamaan 7.65 ekar di Lot SEDC bersebelahan dengan LOT PT 15731 rezab tangki air.

     Masjid ini dibina dibawah peruntukan Kerajaan sebanyak RM 3.127 juta dengan jenis bangunan kekal.Masjid ini barkapasiti 1,000 orang ahli jemaah. Masjid ini belum lagi dirasmikan dan bersempadanan berjumaat di utara Kg Rengit/Kg Tebing Tembah, Selatan Kg Pinang Merah, Timur seluruh Kg Baru Tebing Tembah dan Barat Kg Gong Beting / Kg Nyior.

 

 

6.MASJID TAMAN HADHARI

     Masjid Taman Hadhari mula dibina pada Mei 2007. Ianya dibina bagi mengatasi masalah penambahan penduduk kampung yang semakin ramai. Ianya juga bagi memudahkan penduduk setempat yang sebelum ini perlu bersembahyang Jumaat di Masjid Jamek Paka atau di Masjid Santong. Masjid ini dibina diatas tanah rezab kerajaan bernombor Lot 16765 mukim Paka dan berkeluasan 2.75 ekar (1.1 hektar). Kos pembinaan masjid bernilai RM 4,586,421 ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

     Masjid ini diberi nama Masjid Taman Hadhari diambil sempena nama Taman Hadhari, sebuah kawasan penempatan warga termiskin (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) yang terletak berhampiran dengan masjid.
Masjid ini telah digunakan untuk solat fardhu berjemaah buat pertama kalinya pada 30 Julai 2009, diikuti dengan solat fardhu Jumaat yang pertama pada 18 Disember 2009. Masjid ini boleh menampung kira-kira 2000 orang jemaah pada satu masa.