Masjid di Mukim Kuala Dungun

Image

Masjid Kampung Pulau Serai

Masjid Kg. Pulau Serai telah dibina pada tahun 1840 oleh Tuan haji Yusof bin Lebai Isa dan lebih dikenali dengan gelaran Tok Ki Aji. Pembinaan masjid ini adalah sumbangan dan gotong royong penduduk setempat pada masa itu. Bangunan masjid dibina dengan menggunakan keseluruhanya kayu yang disumbangkan oleh penduduk tempatan. Kayu-kayu yang dibina adalah dari kayu Cengal, Merbau dan Tembesu Bukit yang diperolehi dari hutan berhampiran.

Tanah tapak masjid adalah tanah kerajaan dan pernah diangkat untuk diwariskan sebagai tanah masjid oleh JKKK Kg. Pulau Serai semasa Tuan Haji Mokhtar bin Ahmad pada tahun 1998. Kedudukan Masjid Pulau Serai adalah di satu kawasan penempatan penduduk ketika itu yang dinamakan Pengkalan Selat berhampiran dengan sebuah pulau yang dinamakan Pulau Serai. Pada ketika itu terdapat hamper 20 buah rumah didirikan antara masjid dengan Pengkalan Selat ( Tepi Sungai ). Penduduk yang menggunakan masjid ketika iti ialah penduduk yang tinggal ditebing sungai Dungun iaitu Kampong tanjung Batu, Kg. Pulau Serai(Pengkalan Selat) Kg. Tengah dan Kampong Rajawali. Perhubungan masyarakat ketika itu untuk ke masjid adalah dengan berjalan kaki ditepi sungai dan menggunakan perahu. Ketika pemerintahan Jepun ada cadangan daripada Jepun untuk memindahkan masjid ini ketempat lain kerana terlibat dengan cadangan untuk membina laluan keretapi.

Pada tahun 2000 masjid ini mula diubah suai secara keseluruhan sehingga sekarang. Masjid Kampung Balai Besar dibina di atas Lot PT 13344 seluas 4 ekar, Mukim Sura, Dungun Terengganu. Ianya dibina dengan permohonan orang ramai termasuk JKKK Kampung Balai Besar Dungun. Masjid ini boleh menampung 1500 orang jemaah dalam satu masa. Sebelum ini mereka mendirikan solat Jumaat dan berjemaah di beberapa buah masjid seperti Masjid Pak Sabah, Masjid Sura dan Masjid Che Lijah serta Masjid Batu 7. Kos pembinaan awal bagi menyiapkan masjid ini berjumlah lebih kurang RM 5,387,065.00 juta dan ianya adalah banguan kekal 1.5 tingkat. Terletak dikawasan yang mana sebelah utaranya Kampung Pak Sabah, sebelah selatannya Kampung Batu 7, sebelah timurnya Kampung Sura dan sebelah baratnya pula Kampung Che Lijah.

Tarikh milik tapak masjid ini ialah 29 November 2010 dan telah siap dibina pada 18 September 2012. Ianya diisytiharkan sebagai masjid dan mendapat kebenaran mendirikan solat Jumaat pada 18 Syaaban 1434 bersamaan 27 Jun 2013. Solat Jumaat pertama didirikan pada 19 Syaaban 1434 bersamaan 28 Jun 2013 dan telah diimamkan oleh Tuan Haji Muhammad Zamri bin Nik ( Pegawai Agama Daerah Dungun ). Masjid Balai Besar telah duirasmikan oleh Sultan Terengganu pada tahun 2016.

Image

Masjid Kampung Batu Tiong

Masjid Kampung Batu Tiong dibina pada awal tahun 1960. Pada ketika itu ianya hanya sebuah bangunan kayu yang dibina diatas sebidang tanah yang diwartakan oleh kerajaan. Masjid ini dibina hasil bantuan penduduk kampung dan ianya dapat menampung lebih kurang 100 orang jemaah pada ketika itu.

Masjid ini dibina bagi memudahkan penduduk kampung yang sebelum ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Rajawali, Kampung Pulau Serai. Ianya juga dibina kerana pertambahan penduduk kampung yang semakin ramai. Penduduk kampung mewujudkan jawatankuasa kampung dan bersetuju mengemukakan satu permohonan melalui pihak Pejabat Agama Daerah Dungun.

Pada tahun 1987 sebuah masjid baru telah dibina di tanah kerajaan berkeluasan 1.6 hektar bernombor Lot 2062, mukim Kuala Dungun. Ianya merupakan sebuah bangunan kekal yang siap dibina pada pertengahan tahun 1989. Masjid ini dapat memuatkan lebih kurang 600 orang jemaah pada satu masa.

Image

Masjid Kampung Che Lijah

Masjid ini terletak diatas tanah rezab laluan kereta api yang tidak lagi digunakan dengan keluasan yang tidak sampai 2 ekar diajadikan tapak masjid.Pada tahun 1973 penduduk Padang Jambu telah mendapat peruntukan masjid baru dan telah mewakafkan masjid lama kepada penduduk Kg Che Lijah.Semua penduduk kampung bergotong-royong menrobohkan banguna masjid Padang jambu dan didirikan ditapak masjid Kg che Lijah. Tiga bulan kemudian impian penduduk menjadi kenyataan telah wujud sebuah masjid. Pada tahun 1974 Masjid Che Lijah telah mula beroperasi dengan 5 orang pegawai masjid dengan persetujuan penduduk kampung.Selepas 2 tahun penduduk bertambah ramai dan solat jumaat dapat dilakukan setiap minggu.

Pada tahun 1990 pihak pengurusan masjid dan kepimpinan peringkat Kampung telah memohon pada kerajaan negeri sebuah masjid baru dan pada tahun 1992 penduduk kampung telah mendapat peruntukan sebuah masjid baru. Masjid lama dirobohkan segala kayu bangunan masjid lama ke surau untuk pembesaran bagi membuat masjid sementara menunggu siap masjid baru. Pada awal tahun 1993 masjid baru telah mula siap dan mula digunakan pada pertengahan tahun 1993 dengan dibantu 6 orang pegawai masjid.

Image

Masjid Kampung Padang Jambu

 Masjid Padang Jambu ini juga dikenali dengan nama Masjid Nurul Ehsan Padang Jambu yang telah wujud sekitar tahun 1955 lagi semasa Daerah Dungun terkenal dengan kemasyhuran Bukit Besi sebagai pengeluar bijih besi terkemuka di rantau ini.Pada ketika itu masjid ini sebuah bangunan kayu dan menjadi tumpuan pekerja-pekerja Bukit Besi yang berulang alik dari Dungun ke Bukit Besi.

Bangunan asal masjid ini diletakkan batu asas oleh Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Husin, Perdana Menteri Malaysia ke 2. Pada tahun lapan puluhan pihak Kerajaan Negeri telah membaik pulih dengan struktur separa konkrit. Pada tahun 1999 pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan lebih kurang RM 1.3juta untuk menampung jemaah seramai 800 – 1000 orang jemaah. Masjid ini didirikan diatas tanah kerajaan dengan status bangunan kekal dan belum lagi dirasmikan. Persempadanan jumaat di sebelah utara Kg Tanjung Pagar dan Kg Rumah Murah Nibong ,selatan Kg Padang Jambu dan Kg Bukit Tebuk, timur Taman Jejawi dan Jalan Merpati, barat Kg Bukit Chatak dan Rumah Murah SK Pusat.

Image

Masjid Kampung Pak Sabah

Masjid Kampung Pak Sabah Dungun pada asalnya adalah sebuah surau yang dinaik taraf menjadi masjid. Ianya dibina diatas sebidang tanah kerajaan bernombor Lot 5643 berkeluasan 0.6104 hektar. Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 21 September 1956. Imam masjid pada ketika itu ialah Encik Ali Bin Mat, Encik Ngah Bin Mohamad dan bilal masjid pada ketika itu ialah Encik Said Bin Abdullah serta Encik Abd. Rahman Bin Abdullah.

Persempadanan berjumaat bagi Masjid Kampung Pak Sabah pada sebelah utaranya ialah Jalan Baru, Jalan Teratai, Kg. Kubang Miang dan Jalan Nibong Stesyen. Pada sebelah selatannya ialah Kg. Balai Besar, Kg. Paya, Kg. Alor Tempoyak. Pada sebelah timurnya ialah Jalan Batu 48, Jalan Bunga Raya dan Jalan Kenanga. Pada sebelah baratnya pula ialah Kg. Gong Pasir dan juga Kg. Bukit Pak Sabah. Setelah mengalami beberapa pengubahsuaian, akhirnya bangunan kekal telah dibina pada 01 Ogos 2005 dan siap pada 04 Disember 2006. Kos pembinaan masjid berjumlah RM 1.5 juta dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan. Masjid ini boleh menampung 2,500 orang jemaah pada satu masa.

Image

Masjid Kampung Paya Pelandang

 Masjid Paya Pelandang sebelum diisytiharkan sebagai masijd dahulunya adalah sebuah surau dengan nama Surau Baru Kampung Pulau Serai, Dungun. Surau Baru Kampung Pulau Serai ini adalah sebuah surau yang dibina bagi menggantikan Surau Jalan Kubur, Kampung Pulau Serai, Dungun dan ianya juga dikenali dengan nama Surau Pak Teh Latif. Surau Jalan Kubur terpaksa dipindahkan disebabkan pembesaran jalan Pusara. Surau ini terletak di persimpangan Jalan Besar dengan Jalan Kubur atau sekarang dikenali dengan Jalan Pusara. Surau Baru Pulau Serai di bina pada akhir tahun 1994 dan dapat digunakan pada 27 Julai, 1995 diatas tapak tanah yang ada sekarang. Tanah ini adalah tanah cadangan Pejabat Tanah untuk tapak masjid dengan keluasan 2 ekar.

Pada awal tahun 2008 usaha menaik taraf Surau Baru Pulau Serai menjadi sebuah masjid telah dijalankan oleh JKKK Kampung Pulau Serai dan satu mesyuarat telah diadakan bagi menukar nama surau tersebut kepada Masjid Paya Pelandang. Nama Masjid Paya Pelandang dipilih kerana letaknya didalam kawasan paya yang dikenali oleh penduduk kampung kampung sebagai paya pelandang. Pada 10 Ogos 2008 iaitu pada hari Jumaat, Masjid Paya Pelandang dengan rasminya diisytiharkan sebagai masjid dan sembahyang Jumaat pertama telah diadakan. Watikah menaik taraf surau kepada masjid telah diperolehi daripada MAIDAM.

Image

Masjid Kampung Seberang Pintasan

Masjid Seberang Pintasan telah dibina pada tahun 1928. Bangunan kayu yang boleh menampung jemaah lebih kurang 40 orang telah dibina bagi memudahkan penduduk pada masa itu untuk menunaikan solat jemaah. Masjid dibina semula diatas tapak yang sama. Ianya dapat menampung kira-kira 80 orang jemaah pada satu masa. Dinding masjid pada masa itu diperbuat dari kayu dan tingkap dari buluh. Masjid ini dibuat secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Oleh kerana penambahan penduduk Seberang Pintasan begitu pesat, pada tahun 1979 masjid baru telah dibina. Masjid lama telah diroboh bagi membina masjid baru. Kayu-kayu dari masjid ini telah ddisumbang kepada Surau Kubang Putat dan sebahagian lagi diguna untuk pembinaan Masji Tok Kah. Masjid ini mendapat pembiayaan dari kerajaan. Masjid baru ini dapat menampung 500 orang jemaah pada satu masa. Kos pembinaan bagi masjid ini dianggarkan bernilai RM 300,000.

Image

Masjid Kampung Sungai Udang

 Masjid yang pertama sekali didirikan di Mukim Kuala Dungun dan mula didirikan sekitar tahun 1949 secara bergotong-royong oleh penduduk.Diperbuat daripada kayu cengal yang telah disumbangkan oleh hamba Allah dari Kuala Terengganu. Kayu tersebut telah dibawa ke kuala Dungun melalui jalan laut dengan kapal layar. Masjid ini tidak dibenarkan mengadakan solat jumaat sekitar tahun 1963 – 1978 setelah Masjid Tengku Intan Zaharah didirikan dan diiktiraf masjid Daerah Dungun.Allahyarham bilal wan long telah berusaha mengadakan semula solat jumaat dan akhirnya permohonan diluluskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1979. Masjid yang terletak di Kampung Sungai Udang iaitu 0.5 km dari bandar Kuala Dungun merupakan masjid yang pertama dan tertua di bandar ini. Mula dibina secara gotong royong oleh penduduk daerah Dungun pada sekitar tahun 1948.

Walaupun pembinaan masjid tersebut tidak secanggih pembinaan masa kini,namunid identitinya tetap menarik terutama bahagian menara.Luas kawasannya ialah 0.801 hektar sementara luas masjidnya pula ialah 70’ x 50’ dan dapat menampung kira-kira 700 orang jemaah. Masjid baruyang dibina di atas tanah kerajaan seluas 3.5 ekar , berharga RM 3,938 186.19 dan siap sepenuhnya pada 2008 dapat menampung kira-kira 1500 orang jemaah. Masjid ini belum dirasmikan dan bersempadanan jumaat di utara Kg Bijangga, selatan Jalan Lembah , timur Tanah Lot dan barat Kg Sungai Buaya.

Image

Masjid Kampong Tok Kah

Masjid Kampong Tok Kah telah dibina pada tahun 1963. Ianya dibina diatas tanah seluas dua ekar dan dibahagian belakang masjid ini dijadikan tanah perkuburan. Masjid ini dibina secara bergotongroyong yang diketuai oleh ketua kampung pada masa itu Encik Wan Ya. Pada awalnya masjid ini dibina dengan kayu bulat, dindingnya kayu reja dan beratapkan zink. Keluasan masjid pada ketika itu dianggarkan Cuma 20 x 30 kaki persegi.

Pada tahun 1973, kerajaan telah memperuntukkan lebih kurang RM 10,000 untuk membina bangunan baru dan ianya dibina secara kontrak. Dibina dengan kayu gergaji dan beratapkan asbestos, masjid ini berkeluasan lebih kurang 30 x 50 kaki. Disertakan juga dengan kemudahan tandas dan sumber air pada ketika itu adalah dari telaga yang menggunakan pam tangan. Pada tahun 1997 masjid ini telah diubah suai dimana ruangan sembahyang wanita ditambah dan ianya dibina dengan lantai simen berdindingkan konkrit. Ianya juga dilengkapi dengan bilik wuduk. Pada tahun 2009 masjid ini sekali lagi diubah suai dimana lantai dibahagian dewan sembahyang utama telah ditukar kepada lantai simen beralaskan mozek. Cuma dinding dan atap masih belum diubah suai. Masjid ini masih beroperai sehingga sekarang.

Image

Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah

Letaknya di Kampung Molek di atas tanah seluas 3.083 ekar dikelilingi oleh beberapa buah kampung seperti Kg. Tanah Lot, Kg. Sungai Buaya, Kg. Sungai Udang, Kg. Bukit Catak, Kg. Padang Jambu, Kg. Sura Gate, Kg. Teluk Lipat dan beberapa kampung lain. Sebelum itu penduduk Bandar Dungun berjumaat di Masjid Sungai Udang. Batu asas pembinaan telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Zainal Abidin pada hari Khamis 12 Mac 1964 bersamaan 28 Syawal 1383H. Pembinaan awal mengambil masa 16 bulan dengan peruntukan sebanyak RM 165,000.00 dan dapat menampung kira-kira 800 orang jemaah. Pada hari selasa 29 Jun 1965 bersamaan 1 Rabiulawal 1385H DYMM Sultan telah merasmikan gunapakai masjid ini dengan nama Masjid Intan Zaharah, sempena nama Permaisuri Baginda Tengku Intan Zaharah.

Berdasarkan keperluan semasa, pada tahun 1990 sejumlah RM 2juta telah diluluskan bagi pembesaran dan pengubahsuaian masjid tetapi kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan. Sejumlah peruntukan ditambah menjadikan RM 2.3 juta bagi menyiapkannya dan projek ini disiapkan oleh Emas Kejuruteraan.Pada hari Jumaat 11 Februari 1994 bersamaan 30 Syaaban 1414H YAB Dato’ Seri Amar Di Raja, Tan Sri Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu telah hadir menyampaikan ucapan dalam majlis kesyukuran guna pakai masjid yang telah diubahsuai ini.

  • Site Last Modified : Tuesday 26 March 2024.

visitors since 2016

01147938

DUNGUN MUNICIPAL COUNCIL
Jalan Yahaya Ahmad,
23000 Dungun, Terengganu.

T : 09-8481931
F : 09-8483210
E : mpdungun@terengganu.gov.my

Majlis Perbandaran Dungun

MyGov Portal
TERENGGANU PAY

privasi

/*SENARAI PASAR MALAM DI DAERAH DUNGUN