MENU

1 Januari 2020 – Majlis Perbandaran Dungun (MPD) telah menyerahkan tiga unit kiosk penjaja bergerak bernilai RM10,500 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) kepada tiga penerima terpilih di sekitar bandar Dungun.

Majlis penyerahan yang diketuai oleh Yang Dipertua; Tuan Haji Lizan bin Che Mat turut diiringi Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan; Khairul Azhan bin Mohd Yusof serta pegawai dan kakitangan MPD.

Yang Dipertua MPD berkata, kiosk sumbangan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tersebut adalah untuk menggalakkan penyertaan Kumpulan Berpendapatan 40% Terendah (B40) dalam projek-projek keusahawanan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dan meningkatkan kualiti hidup.

“Selain itu, ianya juga dapat mengurangkan beban B40 di bandar untuk mendapatkan kiosk penjaja yang selamat dan selesa bagi menambahkan pendapatan.

“Dengan adanya kiosk ini, saya berharap para penerima dapat memanfaatkanya sebaik mungkin dengan berniaga secara konsisten setiap hari dan juga memastikan makanan yang dijual bersih dan terjamin kualitinya,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima kiosk penjaja bergerak, Hamli bin Mohamad, 45 tahun dari Balai Besar berkata beliau bersyukur kerana permohonan untuk mendapatkan kiosk ini menjadi kenyataan.

“Sejak kemalangan di Batu 49 pada lima tahun lepas, saya telah kehilangan kerja sebagai mekanik penghawa dingin kerana tidak berupaya menjalankan kerja-kerja berat.

“Alhamdulillah dengan adanya kiosk ini saya dapat mencari pendapatan harian dengan menjual makanan di hadapan rumah saya yang berdekatan dengan SK Balai Besar,” katanya.