Pada 23 Oktober 2025, Majlis Perbandaran Dungun berbesar hati menerima kedatangan Ybhg. Dato’ Haji Rosli bin Latif, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu bersama delegasi pegawai-pegawai UPENT, PlanMalaysia Negeri Terengganu dan Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu untuk lawatan di Tapak Perancangan Transit Oriented Development (TOD) Bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Daerah Dungun. Turut hadir sama adalah, Tuan Haji Lizan bin Che Mat, Pegawai Daerah Dungun.
Majlis Perbandaran Dungun telah membentangkan prestasi terkini pelaksanaan kerja-kerja penyediaan tapak TOD yang telah mencapai kemajuan kerja lebih awal daripada jadual asal yang dirancang, menandakan prestasi pelaksanaan yang amat memberangsangkan. Selain itu, perancangan pembangunan untuk tahun 2026 juga dibincangkan dan diteliti merangkumi aspek penting iaitu penyediaan infrastruktur asas seperti kerja tanah, jalan asas dan sistem saliran.
Transit Oriented Development (TOD) adalah agenda utama kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang selari dengan pengoperasian ECRL. TOD dirangka untuk memberi manfaat maksimum kepada penduduk setempat. Inisiatif ini bakal menjadi pemangkin pembangunan strategik di daerah Dungun.
