LAWATAN TAPAK BERSAMA BEAM MOBILITY MALAYSIA DI KAWASAN OPERASI MPD
Dungun, 5 Mei 2026 – Satu lawatan tapak telah diadakan bersama pihak Beam Mobility Malaysia ke beberapa kawasan operasi di bawah seliaan Majlis Perbandaran Dungun (MPD).
Lawatan ini diketuai oleh Tuan Setiausaha MPD, Mohd Adzhar bin Mohd Zahari, bersama wakil daripada Beam Mobility Malaysia, iaitu Muhammad Izharuddin Bin Abd Hair.
Lawatan meliputi beberapa lokasi strategik yang menjadi tumpuan pelancong dan penduduk sekitar bandar Dungun, khususnya kawasan rekreasi dan riadah seperti Teluk Gadung, sepanjang Pantai Sura, Taman Tasik Sura Hujung, Taman Benteng, Arena Merdeka dan Taman Poket.
Fokus utama lawatan adalah bagi menilai kesesuaian pelaksanaan perkhidmatan e-skuter serta e-basikal sebagai salah satu inisiatif mobiliti pintar di kawasan tersebut. Mobiliti pintar merupakan salah satu komponen utama dalam usaha mencapai Tahap 2 Bandar Pintar, iaitu Developing Smart City seperti yang digariskan oleh PLANMalaysia. Pencapaian tahap ini adalah penting sebagai pengiktirafan rasmi terhadap keupayaan sesebuah bandar dalam mengadaptasi teknologi dan pengurusan bandar secara lebih cekap dan mampan.
Sehubungan itu, pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi penanda aras kemajuan Majlis Perbandaran Dungun, malah merupakan keperluan strategik bagi membuka peluang kepada perolehan peruntukan dan sokongan pembangunan daripada agensi persekutuan. Dengan pencapaian ini, usaha untuk memperkasa pembangunan Dungun sebagai bandar yang lebih pintar, berdaya saing dan lestari dapat dipercepatkan secara menyeluruh.
Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha MPD dalam memperkukuh pembangunan bandar pintar yang berdaya huni, melalui penyediaan pilihan mobiliti yang lebih efisien, mesra alam serta menyokong gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti.
Majlis Perbandaran Dungun akan terus meneliti hasil lawatan ini secara menyeluruh sebelum sebarang pelaksanaan dipertimbangkan.
Usaha ini adalah sejajar dengan aspirasi ke arah merealisasikan Bandar Pintar Ideal Dungun 2030.
#MPD #Dungun #BandarPintarDungun2030









